Michael Thompson mengungguli Kejohanan Golf Jelajah PGA yang kedua dalam kariernya selepas mengatasi rintangan dalam pusingan akhir Terbuka 3M di Minnesota, pagi tadi.

Selepas memenangi Honda Klasik pada 2013, pemain berusia 35 tahun itu mengalami kemarau kejayaan sebelum muncul sebagai pemenang dalam aksi di TPC Twin Cities itu.

Birdies di lubang ke-16 dan ke-18 membawanya kepada catatan 19 pukulan di bawah par untuk menjulang Thompson mengatasi Adam Long dengan dua pukulan, yang hampir memperoleh kejuaraan itu selepas mencuri tumpuan pada hari terakhir.

Birdie di lubang terakhir menyaksikan Long menyusuli pencapaian 63 pukulan keseluruhan semalam apabila hari ini membuat 64 pukulan untuk catatan 17 di bawah par, sekali gus meletakkannya selaku pendahulu sebelum kebangkitan Thompson di sembilan lubang terakhir.

Biarpun berdepan tekanan berterusan, Thompson melakukan birdie tiga di lubang ke-16, kemudian menyamai par di lubang berikutnya untuk berdepan lubang terakhir berbekalkan kelebihan satu pukulan.

Dalam situasi lubang terakhir itu, pukulan keduanya yang melepasi rintangan air singgah ke kawasan green untuk Thompson mendahului saingan dengan dua 'putt' dari jarak 15 kaki untuk gelaran itu di dalam cengkamannya, lantas dia menyempurnakan pukulan pertamanya untuk menamatkan aksi 67 pusingan berkenaan, lalu menjulang kemenangan pertama dalam 167 percubaan.



Dalam tangisan, Thompson berkata: "Sudah lama (saya menantikan kejayaan ini). Saya sangat sedih kerana isteri dan anak-anak tidak dapat ke mari untuk meraikannya bersama saya. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk berjumpa dengan mereka.

"Kejayaan ini sangat menggembirakan. Saya telah beraksi bagus hari ini. Saya kekalkan tumpuan, percaya kepada diri sendiri dan saya tidak boleh menagih apa-apa lagi."

Kemenangan itu menyaksikan Thompson meraih tiket ke Kejohanan PGA Amerika Syarikat (AS) dan Terbuka AS, yang dirujuknya sebagai "dunia" selain jaminan selama dua tahun lagi dalam Jelajah PGA.

Carta kejohanan itu berlangsung begitu sengit dengan sembilan pemain terikat di kedudukan ketiga dengan catatan 16 pukulan di bawah par yang terdiri daripada Robby Shelton, Charles Howell III, Emiliano Grillo, Alex Noren, Tony Finau, Max Homa, Cameron Tringale, Richy Werenski dan Charl Schwartzel.

Werenski sempat muncul sebagai pendahulu di samping Thompson semalam tetapi hanya merakam 70 pukulan pada hari terakhir, catatan terburuknya minggu ini.