Golf Piala Presiden: Perjalanan masih panjang -- Woods

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2019 47
Golf Piala Presiden: Perjalanan masih panjang -- Woods
Tiger Woods dan pasukan Amerika Syarikat yang diketuainya terdesak untuk melakukan pertukaran bagi  saingan ‘foursomes’ dalam Piala Presiden hari ini dengan menampilkan Rickie Fowler dan Matt Kuchar bagi menggantikan pasangan Bryson DeChambeau dan Tony Finau yang ditewaskan pada hari pertama semalam.

Barisan AS ditundukkan 4-1 oleh skuad Antarabangsa diketuai Ernie Els 4-1 dalam saingan ‘fourballs’ pada hari pertama di lapangan Royal Melbourne, Australia itu.

Kuchar dan Dustin Johnson akan berpasangan dalam saingan pembukaan hari ini berdepan Louis Oosthuizen dan Adam Scott sambil Fowler dijangka bergandingan dengan Gary Woodland untuk berdepan pasangan Im Sung-jae dan Cameron Smith di pihak lawan.

Sambil itu, Woods akan meneruskan gandingannya bersama Justin Thomas berdepan Byeong Hun An dan Hideki Matsuyama dan senarai itu dilengkapkan dengan pertemuan Patrick Reed dan Webb Simpson menentang Leishman dan Abraham Ancer manakala Xander Schauffele dan Patrick Cantlay menghadapi Joaquin Niemann dan Adam Hadwin.

“Kami amat bersemangat menghadapi saingan hari kedua untuk memenangi beberapa perlawanan dan menterbalikkan kedudukan,” kata Woods, pemenang 15 gelaran utama.

“Perjalanan masih panjang (di sebalik ketinggalan 1-4). Pemain-pemain pasukan saya tidak sabar-sabar untuk menakluki lapangan.”

Els pula mengakui dia tidak menjangkakan pasukannya mampu mendahului 4-1, apatah lagi ia bukan kelaziman buat pasukan Antarabangsa dalam saingan Piala Presiden – mereka tewas kepada AS dalam tujuh kejohanan berturut-turut sebelumnya.

Ia satu permulaan impian buat skuad Antarabangsa semalam kerana mereka tidak pernah memenangi Piala Presiden sejak 1998.

“Saya langsung tidak jangkakan pendahuluan 4-1,” kata Els selepas saingan ‘foursomes’ itu. “Jadi, ia permulaan yang bagus. Anda pun tahu kami tidak pernah bermula seperti ini bertahan-tahun lamanya.

“Kami harus menempuh satu perjalanan yang panjang tapi kami amat menyukai lapangan golf ini.

“Kami mahu penonton lebih kuat bersorak menyokong kami. Keadaannya agak sepi (semalam) tapi harap-harap mereka akan terus mendorong kami.”

Bekas pemain nombor satu dunia yang juga bintang Australia, Scott, memainkan peranan penting dalam pendahuluan skuad Antarabangsa itu apabila berpasangan dengan Hun An untuk mengalahkan DeChambeau dan Tony Finau 2 dan 1.

“Ia sangat mengujakan,” kata juara Masters 2013, Scott, yang akan berpasangan pula dengan Oosthuizen bagi berdepan dengan pasangan Johnson-Kuchar hari ini.

Kedudukan hari pertama (fourballs): ANTARABANGSA 4 AS 1

Tiger Woods-Justin Thomas (AS) mn Marc Leishman-Joaquin Niemann (INT) 4 dan 3
Adam Hadwin-Sungjae Im (INT) mn Xander Schauffele-Patrick Cantlay (AS) 1 up
Adam Scott-Ben An (INT) mn Bryson DeChambeau-Tony Finau (AS) 2 dan 1
Hideki Matsuyama-C.T. Pan (INT) mn Webb Simpson-Patrick Reed (AS) 1 up
Abraham Ancer-Louis Oosthuizen (INT) mn Dustin Johnson-Gary Woodland (AS) 4 dan 3
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen