Golf Piala Presiden: AS bangkit hangatkan saingan

Oleh Staff Writer 14 Disember 2019 101
Golf Piala Presiden: AS bangkit hangatkan saingan
Pasukan Antarabangsa mengekalkan pendahuluan dalam pusingan kedua Piala Presiden tetapi Amerika Syarikat (AS) bangkit dengan perolehan 2.5 mata daripada saingan ‘foursomes’ untuk mengubah momentum di Kelab Golf Royal Melbourne semalam.

Kedudukan 6.5 - 3.5 itu turut menyaksikan juara gelaran utama 15 kali, Tiger Woods, menyamai rekod Phil Mickelson dengan kemenangan terbanyak dalam Piala Presiden dengan 26.

Barisan Antarabangsa diketuai Ernie Els awalnya mengancam untuk menyapu bersih semua aksi ‘foursomes’ itu pada satu ketika sebelum juara bertahan, AS, membuat kebangkitan lewat untuk memenangi dua daripada tiga gandingan terakhir.

Birdie daripada Patrick Cantlay dan Justin Thomas memastikan AS yang diketuai Woods menamatkan saingan hari kedua itu dengan merapatkan kedudukan kepada 6.5 - 3.5. AS ketinggalan 1-4 pada akhir saingan ‘fourballs’ pada hari pertama.

Hanya sekali dalam sejarah sebuah pasukan bangkit daripada ketinggalan selepas dua hari pertama untuk menjulang Piala Presiden – kebetulan ia dilakukan pasukan AS yang ketinggalan 6.5 - 5.5 untuk kesudahannya menang 18.5 - 15.5 di Virginia pada 2005.

Mendahului 4-1 dalam saingan ‘fourballs’ Khamis lalu, barisan Antarabangsa dilihat kekal di landasan untuk menambah empat mata lagi dalam usaha mereka untuk merampas semula Piala Presiden buat kali pertama sejak 1998.

Selepas rekod sempurna Dustin Johnson dalam foursomes Piala Presiden dileburkan ketika dia dan gandingannya, Matt Kuchar, tewas 3 dan 2 kepada Adam Scott dan Louis Oosthuizen, barisan Antarabangsa melebarkan pendahuluan mereka kepada 5-1.

Satu lagi kemenangan 3 dan 2 daripada Abraham Ancer dan Marc Leishman ke atas Patrick Reed dan Webb Simpson terus mengukuhkan kedudukan mereka sehinggalah sentuhan cemerlang lewat oleh Patrick Cantlay merangsang kebangkitan AS.

Persaingan Cantlay/Xander Schauffele dan Joaquin Niemann/Adam Hadwin itu terikat dari lubang 15 hingga Cantlay membenam birdie di lubang 18 par 4.

Kemenangan 1 up itu mengapi-apikan juara tujuh kali, AS, yang dilonjakkan lagi oleh kemenangan Woods dan pasangannya, Justin Thomas.

Terikat sehingga lubang 17 menentang Hideki Matsuyama and Byeong Hun An, Woods membuka peluang buat Thomas untuk memenangi perlawanan itu yang dimanfaatkan rakannya itu dengan birdie untuk melanjutkan persaingan ke dua hari terakhir.

Kemudian, Rickie Fowler dan Gary Woodland bergandingan untuk menyelamatkan AS dengan separuh mata apabila mengikat Cameron Smith dan Im Sung-jae untuk keputusan seri dalam perlawanan terakhir.

“Pada satu ketika, kami ketinggalan dalam empat persaingan dan terikat dalam satu lagi. Segala-galanya kelihatan tidak memberangsangkan tapi kami berjaya menterbalikkan kedudukan.

“Kami benar-benar mengagumkan pada penghujung dan adalah amat penting untuk kami menamatkannya sedemikian (untuk terus kekal bersaing),” kata Woods.
 
Kedudukan selepas foursomes: ANTARABANGSA (INT) 6.5 AMERIKA SYARIKAT (AS) 3.5
Louis Oosthuizen/Adam Scott (INT) mn Dustin Johnson/Matt Kuchar (AS) 3 dan 2
Patrick Cantlay/Xander Schauffele (AS) mn Adam Hadwin/Joaquin Niemann (INT) 1 up
Abraham Ancer/Marc Leishman (INT) mn Patrick Reed/Webb Simpson (AS) 3 dan 2
Justin Thomas/Tiger Woods (AS) mn Byeong Hun An/Hideki Matsuyama (INT) 1 up
Rickie Fowler/Gary Woodland (AS) seri dengan Sungjae Im/Cameron Smith (INT)
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen