Pasukan Antarabangsa bangkit dengan menakjubkan pada penghujung saingan hari ketiga Piala Presiden di Kelab Golf Royal Melbourne semalam untuk mengekalkan pendahuluan 10-8 sambil Amerika Syarikat (AS) mengancam untuk menjadikan saingan perseorangan pada hari terakhir hari ini memihak mereka.

Juara tujuh kali, AS yang diketuai legenda, Tiger Woods, satu ketika kelihatan hampir menyapu bersih aksi ‘foursomes’ petang semalam – yang jika berlaku – akan mengikat kedudukan 9-9 menjelang 12 pertemuan perseorangan terakhir.

Menuju ke lubang-lubang terakhir, AS mendahului dalam kesemua empat perlawanan foursomes itu dalam kebangkitan dramatik mereka selepas menamatkan saingan ‘four-balls’ pada sebelah pagi semalam pada kedudukan 9-5.

Malangnya, Justin Thomas dan Rickie Fowler yang mendahului 5 up ke atas gandingan Marc Leishman dan Abraham Ancer, membenarkan lawan dari pihak Antarabangsa itu bangkit untuk mengikat kedudukan dalam perlawanan berkenaan.

Apabila saingan pada hari ketiga itu berakhir, Antarabangsa masih mampu mengekalkan pendahuluan buat tiga hari berturut-turut pada kedudukan 10-8 menjelang 12 pertemuan perseorangan terakhir hari ini.

Tiada pasukan yang pernah memenangi Piala Presiden selepas ketinggalan sepanjang tiga hari pertama tetapi Woods meletakkan dirinya selaku perseorangan pertama AS hari ini untuk cuba mengemudi pasukannya mencipta sejarah.

Dalam saingan foursomes petang semalam, Dustin Johnson dan Gary Woodland menyumbang mata pertama AS dengan kemenangan 2 dan 1 ke atas Adam Scott dan Louis Oosthuizen.

Ia disusuli mata kedua daripada Xander Schauffele dan Patrick Cantlay yang menundukkan Im Sung-jae dan Cameron Smith dengan keputusan serupa.

Tertekan oleh kedudukan terkini ketika itu, segala-galanya mula berubah.

Thomas – dengan rekod sempurna 3-0-0 – dan Fowler bersiap sedia untuk membuat pukulan tee di lubang 11 dengan mendahului 5 up ke atas Leishman dan Ancer.

Leishman belum menang sepanjang minggu ini, namun gandingan cemerlangnya bersama Ancer meriuhkan sorakan di lapangan.

Selepas pukulan tee liar Thomas berkesudahan di bawah satu deretan pokok, pukulan Leishman ke green membolehkan pasangan Antarabangsa itu mengikat perlawanan untuk keputusan seri.

Segala tumpuan kemudian terarah kepada Joaquin Niemann dan Byeong Hun An, yang ketika itu ketinggalan 2 up kepada Tony Finau dan Matt Kuchar selepas 13 lubang.

Didorong oleh kapten, Ernie Els, pukulan gemilang Niemann dari ‘rough’ membuka jalan untuk dia dan pasangannya meraih separuh mata lagi hasil keputusan seri.

Namun, segala-galanya belum berakhir, dengan 12 pertemuan perseorangan hari ini akan memutuskan pemenang.

Keputusan semalam: ANTARABANGSA 10 AS 8

Four-ball:
Rickie Fowler dan Justin Thomas (AS) mn Li Haotong dan Marc Leishman (INT) 3 & 2.
Abraham Ancer dan Sungjae Im (INT) mn Xander Schauffele dan Patrick Cantlay (AS) 3 & 2
CT Pan dan Hideki Matsuyama (INT) mn Webb Simpson dan Patrick Reed (AS) 5 & 3
Adam Scott dan Byeong Hun An (INT) seri dengan Matt Kuchar dan Tony Finau (AS)

Foursomes:
Dustin Johnson dan Gary Woodland (AS) mn Louis Oosthuizen dan Adam Scott (INT) 2 & 1
Marc Leishman dan Abraham Ancer (INT) seri dengan Justin Thomas dan Rickie Fowler (AS)
Xander Schauffele dan Patrick Cantlay (AS) mn Cameron Smith dan Sungjae Im (INT) 2 & 1
Byeong Hun An dan Joaquin Niemann (INT) seri dengan Matt Kuchar dan Tony Finau (AS)

Susunan perlawanan perseorangan hari ini (Antarabangsa disebut dahulu):
braham Ancer lwn Tiger Woods, Hideki Matsuyama lwn Tony Finau, C.T. Pan lwn Patrick Reed, Li Haotong lwn Dustin Johnson, Adam Hadwin lwn Bryson DeChambeau, Im Sung-jae lwn Gary Woodland, Joaquin Niemann lwn Patrick Cantlay, Adam Scott lwn Xander Schauffele, Byeong Hun An lwn Webb Simpson, Cameron Smith lwn Justin Thomas, Louis Oosthuizen lwn Matt Kuchar, Marc Leishman lwn Rickie Fowler.