Golf PGA AS: Woods gagal lepasi had kelayakan, akui cabaran makin sukar

Oleh Shaiful Shamsudin 9 Ogos 2020 30
 Golf PGA AS: Woods gagal lepasi had kelayakan, akui cabaran makin sukar
Tiger Woods mengakui semakin kesuntukan masa untuk memenangi gelaran utama selepas gagal meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Golf PGA Amerika Syarikat (AS), pagi tadi. 

Pemain berusia 44 tahun itu mencatat 2 di atas par 72 dalam dua pusingan berturut-turut untuk menyempitkan laluannya ke pusingan akhir di TPC Harding Park, San Francisco.

Sekali lagi peluang terlepas daripada genggaman buat juara bertahan Kejohanan Masters itu dalam usahanya untuk menyamai rekod 18 kejuaraan yang dicipta Jack Nicklaus. 

Woods telah menjulang 15 kejuaraan utama sepanjang kerjaya profesionalnya selama 24 tahun tetapi hanya menang sekali sejak 2008.

"Tidak banyak (peluang untuk menang) seperti ketika saya mula beraksi dulu," katanya selepas selesai beraksi. 

"Lapangan golf semakin besar. Aksinya semakin panjang. Jurang di antara kelayakan (cut) dan pendahulu jauh lebih kecil berbanding dulu. Dulu kadang-kadang kami  perlu melakukan 12 hingga 15 pukulan. 

"Sekarang di sini kami membuat sembilan pukulan. Ia amat berbeza. Saingan semakin sengit dan sukar untuk memenangi kejohanan tetapi apabila melihat carta dalam kebanyakan kejohanan utama, kamu melihat orang yang sama.

 
"Mungkin tidak selalu muncul pemenang yang sama, tetapi anda boleh melihat segelintir nama-nama itu.  

"Mereka memahami bagaimana untuk memenangi kejohanan utama, memenangi acara besar, bagaimana mereka mengharungi siri Jelajah, betapa sukarnya memenangi kejohanan-kejohanan besar ini."

Pukulan putt terbukti terus menjadi masalah buat pemain tuan rumah itu apabila dia gagal melakukan birdie hingga lubang ke-16.

Walaupun ketinggalan, Woods mengatakan bahawa dia mempunyai tujuan yang jelas mengintai tempat dalam pusingan akhir.

"Saya terus berjuang tanpa mempedulikan apa pun," katanya. 

"Sama ada pusingan itu melibatkan 61 mahupun 81 pukulan, saya perlu sentiasa pamer ketekalan dan usaha berterusan. 

"Saya terus berjuang hingga detik akhir (dengan) rasa bangga terhadap apa yang saya lakukan. Saya gemar bersaing. Malangnya saya tidak dapat melakukan tugas dengan baik hari ini.

"Pada akhirnya, saya mula mendapat rentak dan mudah-mudahan saya dapat melakukan sesuatu esok dan bersaing tanpa rugi apa-apa pun."

Dalam masa sama, Brooks Koepka terus menghidupkan peluang untuk melakar hatrik PGA AS apabila mengekori pendahulu baru, Dustin Johnson. 

Johnson perlu memanfaatkan kelebihan satu pukulan menjelang pusingan akhir esok selepas membuat 65 pukulan dengan catatan 9 di bawah par, tetapi naib juara 2019 itu akan menghadapi cabaran sengit daripada pemain yang mengalahkannya untuk mencipta kejayaan tahun lalu.

Johnson berdepan situasi sukar ketika membuat bogey berganda di lubang sembilan sebelum beraksi mantap menerusi lapan birdie selepas itu. 

Juara sekali kejohanan utama itu mendahului tipis Scottie Scheffler (65) dan Cameron Champ (67) yang terikat di tempat kedua.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen