Kejayaan Hideki Matsuyama meraih gelaran Masters pertamanya akan "memberi impak terhadap seluruh dunia sukan golf", kata pemenang 15 gelaran utama, Tiger Woods.

Matsuyama mencipta sejarah apabila menjadi pemain lelaki Jepun pertama memenangi gelaran utama selepas mengungguli Kejohanan Masters menerusi kemenangan satu pukulan dalam aksi terakhir di Augusta malam tadi.

Pemenang lima Kejohanan Jelajah PGA lalu itu mengatasi saingan sengit Xander Schauffele (72) dan Will Zalatoris (70) untuk melengkapkan hari bersejarahnya di Georgia, di mana dia mencatatkan 10 di bawah par keseluruhan selepas melakukan 73 pukulan untuk menyarung jaket hijau.

Juara lima kali Kejohanan Masters dan bintang besar Amerika Syarikat (AS), Tiger Woods -- yang baru pulih daripada kemalangan yang hampir meragut nyawanya pada Februari lalu -- mengucapkan tahniah buat pemain berusia 29 tahun itu dalam laman sosialnya.

"Anda membuatkan Jepun berbangga Hideki. Tahniah atas kejayaan besar anda dan negara anda.

"Kemenangan bersejarah dalam Kejohanan Masters ini akan memberikan kesan terhadap seluruh dunia sukan golf," ciap Woods dalam Twitter.