Pemain golf sensasi negara, Kelly Tan, mahu hari kelahirannya diraikan dengan sesuatu yang berharga dalam Kejohanan Golf Sime Darby LPGA di TPC Kuala Lumpur, bermula esok hingga Ahad ini.

Kelly menyambut hari jadinya yang ke-24 esok, dan pastinya dia ingin sesuatu untuk dikenang sekurang-kurangnya menjadi pemain terbaik negara dalam kejohanan itu.

Menamatkan saingan dalam kelompok 58 dalam edisi lalu, pemain yang beraksi dalam Sukan Olimpik Rio 2016 itu, bagaimanapun, hanya mahu menikmati kejohanan kali ini.

"Ya saya mahu menikmati permainan saya. Sudah tentu jika memikirkan keputusan, ia tidak membantu saya," katanya.

Sementara itu, pemain amatur negara, Natasha Oon, pula teruja beraksi buat kali kedua dalam kejohanan itu selain mengharapkan mampu memberi kejutan untuk melakukan pukulan 'hole-in-one'.

Siapa sangka, dia pernah memenangi sebuah kereta Volvo XC60 dalam Kejohanan Golf Terbuka Wanita Amatur Kelab Golf Diraja Selangor 2014 selepas berjaya membuat pukulan 'hole-in-one' pada usia 12 tahun.

"Saya tidak mempunyai sasaran khusus, mungkin 'hole-in-one' untuk mendapatkan kereta BMW," selorohnya.

"Saya fikir saya mahu menikmati dan menimba pengalaman yang saya fikir bukanlah ada selalu."