Keselesaan bermain di lapangan golf TPC Kuala Lumpur dan kenangan manis merangkul gelaran pertama siri Jelajah PGA menyuntik semangat Justin Thomas untuk memburu gelaran hatrik Kejohanan Klasik CIMB di Bukit Kiara bermula esok.

Selepas muncul juara dua kali berturut-turut pada 2015 dan 2016, pemain nombor empat dunia itu berkata penampilan kali ketiga dalam kejohanan itu membawa banyak kenangan manis.

‘Ini sentiasa menjadi tempat yang istimewa untuk diri saya kerana di sini saya merangkul kejuaraan Jelajah PGA pertama saya.

“Setiap kali saya lihat trofi dalam pejabat di rumah saya atau menonton klip video, ia membawa banyak kenangan indah, malah kejohanan ini antara yang terpenting dalam karier saya,” kata pemain Amerika Syarikat berusia 25 tahun itu dalam sidang media pra-kejohanan, hari ini.

Bekas pemain nombor satu itu menyifatkan cabaran mengatasi banyak ‘bunker’ di lapangan tersebut merupakan kelebihan untuk dia mengambil kesempatan.

“Hakikatnya, saya beraksi dengan baik semasa bermain di sini,” katanya.

Thomas berkata tidak banyak kelainan pada lapangan itu selepas kerja-kerja pengubahsuaian selama 10 bulan sejak tahun lalu serta memuji pekerja kelab yang mengekalkan keaslian lapangan tersebut.

“Bentuk lapangan adalah sama dan hanya rumput dan lintasan sahaja berbeza. Saya banyak bermain dalam jenis rumput seperti di sini di Florida dan siri jelajah,” kata pemenang sembilan kali siri Jelajah PGA itu.

Sementara itu, juara bertahan, Pat Perez, tidak berhasrat untuk melepaskan gelarannya kepada rakan senegaranya, malah pemain berusia 42 tahun itu memasang hajat untuk mengulangi pencapaian Thomas dan Ryan Moore (pemenang edisi 2013 dan 2014).

Bagaimanapun, Perez, pemain nombor 56 dunia, berkata dia tidak mahu memberi tekanan kepada dirinya kerana cabarannya berbeza setiap kali, terutama menghadapi saingan hebat daripada Thomas, Keegan Bradley, Moore dan Brandt Snedeker.

“Seperti saya katakan, saya teruja untuk kembali dan akan cuba melakukan yang terbaik. Bagi saya CIMB Classic sentiasa istimewa kerana inilah kejohanan pertama saya beraksi selepas menjalani pembedahan bahu pada 2016 sebelum mendapatkan semula rentak kemenangan saya,” katanya.

Kejohanan edisi kesembilan ini menawarkan hadiah wang tunai AS$ 7 juta (RM29.07 juta ) dan menampilkan 78 pemain, iaitu 60 pemain terbaik dunia dalam senarai Piala FedEX 2017-2018, lapan pemain tajaan penaja dan 10 pemain terbaik Jelajah Asia.

-- BERNAMA