Aksi pemain golf negara, Ben Leong, tidak konsisten dalam pusingan ketiga selepas sekadar melakukan satu bawah par 71 untuk berada di kedudukan ke-38 dalam Kejohanan Golf Klasik CIMB 2018, hari ini.

Aksi Ben kian tidak menentu walaupun bermula cemerlang pada hari pertama saingan untuk mencatat empat bawah par 68.

Hari ketiga kejohanan, Ben yang bermula di lubang pertama melakukan tiga birdie sebelum rentaknya mula goyah di lubang ke-11 dengan memperoleh double bogey.

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun berkenaan mengharapkan nasib berbeza pada hari terakhir saingan esok selain tidak terburu-buru untuk mencatat keputusan lebih baik.

"Aksi saya tidak menentu sepanjang minggu ini.

"Itulah golf, anda tidak akan tampil cemerlang pada setiap hari tetapi apabila itu berlaku, anda perlu pastikan anda mampu meraih keputusan, itulah rahsianya.

"Jika seseorang pemain itu beraksi baik, mereka mencatat keputusan yang rendah.

"Oleh itu, kunci utama permainan ini adalah meraih keputusan memberangsangkan meskipun gagal beraksi baik," katanya.

Pemain dari Amerika Syarikat, Gary Woodland, Marc Leishman (Australia) dan Shubhankar Sharma (India) pula berkongsi kedudukan pendahulu dengan mencatat keputusan sama, 19 bawah par 197 secara keseluruhan.

"Saya beraksi cukup bagus hari ini.

"Saya membuat pukulan dengan baik hari ini tetapi kurang bagus dalam sembilan lubang terakhir.

"Namun, saya membuat beberapa pukulan yang baik untuk membawa momentum ini dalam saingan esok," kata Woodland.