Ben Leong akan memanfaatkan pengalamannya ketika pertama kali menyertai Kejohanan Golf Klasik CIMB 2015 dan kelebihan pernah beraksi di West Course TPC bagi melakar keputusan lebih baik dalam kejohanan edisi 2018 yang bermula esok.

Pemain berusia 32 tahun berasal dari Sabah itu, yang menduduki tangga ke-64 daripada 78 pemain pada 2015, terkejut kerana mendapat jemputan untuk menyertai kejohanan itu.

Menurutnya, dia banyak belajar daripada penyertaan sulungnya pada 2015 dan kini bersedia untuk berdepan dengan mereka yang lebih ternama.

“Anda tidak boleh sekali-kali mengambil mudah dalam kejohanan Jelajah PGA kerana pesertanya handal-handal belaka dan anda tidak sepatutnya bermain secara sambil lewa.

"Persembahan buruk dalam satu pusingan sahaja sudah cukup untuk memberi padah kerana jika berbuat demikian, peluang anda untuk mencatat keputsuan cemerlang adalah amat rendah.

“Semuanya cukup baik kecuali keadaan cuaca yang agak membimbangkan. Gembira rasanya apabila dapat beraksi kembali dalam Jelajah PGA ini.

"Saya rasa keputusan akan sama seperti sebelum ini, pencapaiannya rendah sahaja berikutan persaingan yang amat sengit,” katanya dalam sidang akhbar pra-kejohanan, hari ini.

Pemain profesional Jelajah Asia menduduki ranking ke-360 dalam Ranking Rasmi Golf Dunia (OWGR) itu ditawarkan menyertai kejohanan berkenaan dan merupakan pemain Malaysia yang mempunyai ranking kedua tertinggi, selepas pemain golf nombor satu negara Gavin Kyle Green (188) membuat keputusan untuk bermain dalam kejohanan Jelajah Eropah.

“Ini sesuatu yang mengejutkan sebenarnya. Saya tidak pernah menyangka akan berpeluang untuk duduk dan ditemu bual di sini hari ini. Jutaan terima kasih kepada anda, Gavin, yang menarik diri dan memberi peluang ini kepada saya… Selamat maju jaya kepadanya dan saya tidak sabar untuk berganding bahu dengannya dalam kejohanan Piala Dunia nanti.

“Dia menghantar mesej kepada saya dan berkata, baguslah, jangan lepaskan peluang itu dan bergembiralah dengannya. Ia sesuatu yang amat menyeronokkan.

"Dia memang manusia budiman. Mungkin saya akan namakan anak lelaki kedua saya nanti sebagai Gavin…Ya, Gavin banyak berbudi kepada saya,” katanya.

Hanya Ben dan Kim Leun Kwang, 23, yang menjuarai Kejohanan Golf Kebangsaan CIMB dua minggu lalu, merupakan pemain Malaysia yang akan beraksi dalam kejohanan yang disertai 78 pemain itu.

-- BERNAMA