Selepas tamat situasi yang dilalui atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, kini tempias terarah kepada ratu trek negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, apabila harapannya untuk ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 tampak samar walaupun peluangnya masih belum tertutup rapat.

Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abbas, menjelaskan perkara itu sambil mengesahkan Zaidatul adalah atlet ke-13 yang dalam proses rayuan untuk ke Gold Coast.

Ia bergantung kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana Hup Wei sudah sah tersenarai dalam senarai 12 atlet untuk beraksi di pentas Komanwel, mengetepikan ratu trek negara itu.

Bagaimanapun, Zainal enggan pemenang pingat perak Sukan SEA 2017 itu putus harapan kerana peluang masih ada untuknya terus berharap agar rayuan diterima.

"Kami memang menghantar nama 13 atlet tetapi sehingga kini masih menunggu keputusan rayuan kepada MOM. Setakat ini, 12 orang telah diluluskan dan satu lagi tempat buat Zaidatul sedang dinilai.

"Jika ada peluang untuknya, kami akan bawa Zaidatul ke Sukan Komanwel," kata Zainal.

Sementara itu, Hup Wei pula tidak mahu terlalu gembira dengan pemilihan yang telah dibuat kerana dia masih belum dimaklumkan sebarang perkembangan walaupun Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) telah mengesahkan penyertaannya ke Gold Coast.

"Perkara ini adalah keputusan KOM bagi meletakkan nama saya dalam senarai. Saya kena tunggu pengesahan daripada pihak MOM.

"Sekiranya diberikan peluang, saya akan memberikan prestasi yang terbaik," ujar Hup Wei.