Skuad gimnastik artistik negara berlepas ke Gold Coast semalam untuk saingan Sukan Komanwel dengan membawa keyakinan tinggi untuk memberikan cabaran terhebat kali ini.

Diketuai gimnas berpengalaman, Farah Ann Abdul Hadi, skuad negara kali ini tampak seimbang dalam misi meraih pingat buat kontinjen negara di Gold Coast.

Bagi Farah Ann, dia optimis skuad kali ini berupaya memberikan aksi terbaik berlandaskan persiapan yang sudah mereka lalui.

"Bagi saya, kami seluruh pasukan telah bersedia dengan secukupnya. Aksi di Melbourne dan Doha sebelum ini sangat membantu kami," katanya.

Walaupun Tracie Ang terpaksa digugurkan pada saa-saat akhir kerana kecederaan, Farah Ann berasakan skuad kali ini tetap seimbang untuk memberikan cabaran sukar buat pesaing lain dan pendapat itu turut dipersetujui jurulatih skuad wanita negara, Ng Shu Wai.

"Persediaan kami berjalan lancar dan atlet-atlet juga bebas daripada sebarang kecederaan, diharapkan semua dapat beraksi dengan baik.

"Sebenarnya, kami terdiri daripada dua atlet senior dan dua atlet muda. Salah seorang daripada atlet muda itu adalah Nur Azira Aziri yang pernah beraksi dalam Sukan SEA, jadi ia akan menjadi pendedahan buatnya," ujar Shu Wai.