Sejak menjejakkan kaki di Australia, tonggak ping pong negara, Ashraf Haiqal Rizal, akur merindui pengaruh senior dan bekas pemain kebangsaan, Shakirin Ibrahim.

Diserapkan ke dalam skuad senior negara pada 2013, Ashraf sentiasa memiliki Shakirin sebagai sandaran dalam sukan temasya.

Persaraan Shakirin pasca Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 memaksa Ashraf untuk memikul tanggungjawab itu.

Apa sahaja yang dipelajarinya akan dimanfaatkan bagi membantu Leong Chee Feng dan Chong Javen dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

"Terasa juga tanpa kehadirannya kerana dia telah memberikan tunjuk ajar buat pemain-pemain muda serta membantu kami memperbaiki sebarang kekurangan dalam permainan.

"Kini dia sudah tiada, jadi kami perlu mengharapkan kemampuan diri sendiri.

"Saya dikira paling senior di dalam pasukan dan berharap dapat menunjukkan prestasi terbaik dalam mana-mana kejohanan yang disertai," kata Ashraf.

Malaysia akan memulakan kempen dalam acara berpasukan dengan skuad lelaki diundi menentang Nigeria dan Belize di peringkat kumpulan.

Nigeria, yang ditunjangi Olimpian mereka, Quadri Aruma, menjadi ujian pertama Malaysia, esok.

"Nigeria memiliki seorang pemain yang melangkah ke suku akhir dalam edisi terakhir Sukan Olimpik dan jelas sekali dia paling bagus dalam pasukannya.

"Pemain lain agak bagus tetapi tidak sehebat pemain utamanya," katanya.