"Senyuman adalah elemen penting dalam diri gimnas," itu merupakan keutamaan gimnas negara, Koi Sie Yan, yang menganggap bukan satu perkara mudah dalam memastikan dirinya terus senyum walaupun berdepan saat-saat getir ketika beraksi.

Segala persiapan telah dilakukan dan hanya perlu menunggu saingan sebenar untuknya tampil beraksi dalam Sukan Komanwel buat kali pertama.

Katanya, selain fokus dalam memperkemaskan aksi dalam empat rutin, iaitu bola, gelung, belantan dan reben, senyuman tidak boleh diketepikan apabila ia menjadi elemen utama dalam persembahan untuk memikat hati juri.

Jelas pemenang pingat emas Sukan SEA lalu itu, bukan senang untuknya memastikan senyuman tidak lekang di bibir, apatah lagi sekiranya gagal untuk mengawal apparatus di gelanggang.

"Kami perlu sentiasa senyum walaupun ketika terjatuh. Kami perlu ada senyuman di muka," katanya.

Sie Yan optimis pingat emas mampu menjadi milik Malaysia bagi acara berpasukan kerana pencabar dari negara lain mungkin tidak mempunyai sentuhan istimewa sebagai satu pasukan apabila mereka lebih mengutamakan acara individu.

"Pasukan mereka tidak sebagus kita tetapi mereka kuat dalam acara individu. Ia sudah tentu sukar (acara individu)," katanya lagi.

Acara terjun yang menawarkan 10 emas akan berlangsung dari 11 hingga 14 April.