Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk SS Cheema, mengesahkan pingat gangsa milik atlet angkat berat negara yang positif bahan terlarang stanozolol akan ditarik balik walaupun ujian doping dilakukan sebelum Sukan Komanwel 2018.

Atlet angkat berat itu perlu memulangkan semula pingatnya jika keputusan ujian sampel B miliknya kekal positif.

Ia tertakluk kepada peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) bahawa seseorang atlet berada dalam pemantauan sebaik menjalani ujian doping sehingga mendapat keputusan sampel A.

Situasi itu meletakkan MOM dalam keadaan bersedia untuk mendapatkan semula pingat tersebut, bergantung kepada keputusan sampel B, dua minggu lagi.

"Disebabkan ujian (doping) itu dijalankan sebelum Sukan Komanwel 2018, jadi tindakan akan diambil pada hari ujian itu dilakukan.

"Ujian ini berkemungkinan dilakukan pada 28 Mac, maka penggantungannya akan berkuatkuasa pada 28 Mac.

"Justeru, penyertaannya dalam Sukan Komanwel (Gold Coast) atau apa jua pertandingan yang telah disertainya selepas ujian itu akan dibatalkan memandangkan ujian itu diadakan sebelum temasya.

"Kalau ia dilakukan selepas Sukan Komanwel, maka dia tidak akan terlibat (menyerahkan medal)," katanya.

Semalam, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengadakan sidang media untuk mengesahkan kewujudan kes doping membabitkan badang negara.

Jika didapati bersalah, dia berdepan penggantungan maksimum empat tahun.