Skuad gimrama negara menambah satu lagi pingat gangsa dalam Kejohanan Gimrama Asia 2018 menerusi Amy Kwan dalam apparatus reben pada hari terakhir saingan hari ini.

Tumpuan utama aksi hari ini terarah kepada Amy yang menyertai saingan akhir apparatus reben dan juga belantan.

Reputasinya selaku pemenang emas di pentas Sukan Komanwel Gold Coast 4-15 April lalu diteruskan dengan persembahan memikat untuk dirinya meraih 13.7 mata, namun saingan akhirnya dimenangi atlet Kazakhstan, Alina Adilkhanova, diikuti Shang Rong dari China di tempat kedua.

"Saya rasa saya masih boleh melakukan dengan lebih baik. Terdapat sedikit kesilapan ketika beraksi dengan reben. Saya dapat menyambutnya tetapi tidak berakhir seperti yang saya harapkan," kata Amy.

Sementara itu, sedikit kesilapan menyaksikan seorang lagi atlet negara, Izzah Amzan, terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat apparatus bola individu.

Dia mengumpul 15.050 mata tetapi catatan itu menyaksikan dirinya menduduki tempat keempat di belakang Nurinisso Usmanova dari Uzbekistan yang meraih gangsa, tatkala emas sekali lagi menjadi milik Adilkhanova manakala Kim Chaewoon meraih perak.

"Saya meraih markah yang sangat sedikit. Saya mampu mendapatkan pingat tetapi terdapat sedikit kesilapan, jadi mungkin sebab itu ia memberi kesan kepada mata.

"Saya akan berusaha lebih keras pada masa akan datang," ujar Izzah.

Acara berkumpulan tali dan bola pula menyaksikan Malaysia menamatkan cabaran di tempat kelima dengan mencatat 13.58 mata.

China membuktikan penguasaan dalam acara itu apabila meraih emas, diikuti Jepun dan Korea.