Selepas hampir bersara gara-gara kecederaan lutut kanan, gimnas negara, Chau Jern Rong, kini menumpukan kepada Kejohanan Terbuka Ukraine, Mac ini.

Kejohanan itu merupakan kejohanan sulungnya selepas pulang hampa daripada Sukan SEA Filipina bulan lalu.

Meskipun sudah enam tahun bergelut dengan kecederaan sama, dia masih bersedia untuk berbakti bersama skuad kebangsaan.

"Ketika ini, anda dapat lihat lutut saya agak elok.

"Sebelum berlatih, saya kerap berfikir bahawa ia mungkin akan terkehel lagi.

"Tetapi jika saya mempunyai otot yang cukup kuat untuk menyertai kejohanan dan latihan, saya fikir keyakinan saya akan meningkat," katanya.

Atlet berusia 22 tahun itu menyedari risiko yang perlu dihadapinya, namun tetap menyasarkan satu pingat emas dalam mana-mana temasya sukan yang akan datang.

Meskipun bersedia menggalas cabaran di Ukraine, dia mengakui peluang tipis untuk mendapatkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

"Bagi mendapatkan tiket itu, ia amat-amat mencabar.

"Kerana saya tidak menyertai acara all-around, jadi saya bukannya menyertai kesemua enam acara.

"Saya hanya menyasarkan acara individu, jadi saya perlu memenangi pingat emas dan menewaskan juara dunia untuk ke Sukan Olimpik," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa