Pemain wanita remaja negara, Gillian Lim Siew Giok, memenangi pingat emas Masters Wanita selepas mengalahkan wakil Korea Selatan, Shin Hyebin, dengan kelebihan 36 pin dalam acara akhir step-ladder Kejohanan Boling Tenpin Remaja Asia Ke-20 (AYTBC), hari ini.

Dalam saingan step-ladder di Megalanes Batu Kawah, Sarawak itu, Gillian mencatatkan 384 jatuhan pin manakala Hyebin memperoleh perak dengan 348 jatuhan pin.

Pemain Singapura, Charlene Lim, pula membawa pulang gangsa.

Terdahulu, Gillian, pemain berusia 20 tahun dari Sarawak, layak ke saingan akhir step-ladder apabila menduduki tangga ketiga di belakang Charlene dan Hyebin yang masing-masing merekodkan 3,375 dan 3,488 pin dalam saingan blok kedua.

Sementara itu, dalam acara Masters Lelaki, pemain Singapura, Xavier Teo, menewaskan wakil negara, Muhammad Hafiz Zainuddin, 432-427 dalam acara akhir step-ladder untuk merangkul emas manakala pemain Korea Selatan, Moon Hayeong, membawa pulang gangsa.

Edisi ke-20 AYTBC disertai seramai 72 pemain muda dari 10 negara, iaitu Australia, Korea Selatan, Macau, Filipina, Bahrain, Singapura, Thailand, Taiwan, Hong Kong dan Malaysia.

-- BERNAMA

Kredit gambar: MTBC