Ketika Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berusaha meleraikan kemelut kepimpinan persatuan itu mengikut prosedur, ada pihak yang mahu muncul wira dengan mendalangi gerakan kononnya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mahukan jawatan presiden persatuan itu.

Menurut sumber, kumpulan itu kini dikatakan sedang berusaha mempengaruhi ahli gabungan, terutama yang di pertua daerah yang tidak menjadi Exco PAFA untuk hadir satu pertemuan dengan Menteri Besar petang ini bagi mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden.

Sambil menjual nama Ahmad Faizal yang kononnya mahukan jawatan presiden, kumpulan itu juga dikatakan menyebar fitnah bahawa Exco sedia ada tidak mahu Menteri Besar sebagai orang nombor satu PAFA.

Ahmad Faizal sebelum ini berkata beliau menyerahkan kepada ahli majlis PAFA untuk menyelesaikan kemelut itu dan akan mengadakan pertemuan dengan ahli majlis persatuan itu dalam tempoh terdekat.

Exco PAFA, dalam mesyuarat khasnya pada 13 November lalu, menolak hasrat Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletak jawatan melalui suratnya bertarikh 13 November serta memberi masa selama 14 hari untuk beliau mengubah pendirian.

Bagaimanapun, mesyuarat sama menerima peletakan jawatan timbalan presiden, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, yang dibuat pada 8 November.

Menurut sumber itu lagi, gerakan kumpulan itu nyata membelakangi perlembagaan dan mandat yang telah diberikan kepada jawatankuasa eksekutif PAFA bagi menentukan hala tuju persatuan itu.

Katanya, hanya Jawatankuasa Eksekutif PAFA layak memanggil EGM jika terdapat permintaan daripada ahli gabungan.

"Jika benar berlaku, agak malang kerana ia jelas tidak mengikut perlembagaan dan peraturan persatuan.

"Saya berharap kumpulan itu tidak meneruskan tindakan itu kerana mungkin akan menambah kekusutan dan masalah PAFA, " katanya.