Genever beri waktu rehat buat pemain

Oleh Penulis Jemputan 8 Oktober 2018 91
Genever beri waktu rehat buat pemain
Ketua jurulatih skuasy negara, Peter Genever, tidak memberikan sebarang penekanan khusus untuk baki pertandingan tahun ini dalam membentuk skuad lebih mantap bagi 2019.

Tahun 2018 menyaksikan antara persembahan terbaik oleh pemain skuasy kebangsaan, terutama kejayaan meraih dua pingat emas di pentas Sukan Asia Indonesia, bulan lalu.

Ia termasuk kejayaan cemerlang skuad berpasukan lelaki yang tampil memukau dengan menewaskan Hong Kong dalam final.

Ada beberapa lagi pertandingan bakal diharungi oleh wakil negara, antaranya aksi Jelajah PSA tetapi Genever tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi buat mereka.

"Kami memberikan mereka waktu rehat selepas Sukan Asia. Ia tahun yang hebat buat kami. Hanya Kejohanan PSA yang menjadi tumpuan buat masa ini, jadi kami hanya perlu mengekalkan rekod yang baik sepanjang tahun," katanya.

Sementara itu, Genever menjangkakan tidak banyak perubahan terhadap jumlah pemain untuk terus membawa cabaran Malaysia tahun depan.

Selain Sukan SEA di Filipina, beberapa lagi pertandingan turut menjadi tumpuan, antaranya Kejohanan Individu Asia, Kejohanan Berpasukan Dunia serta Kejohanan Remaja Dunia.

"Selepas Sukan Asia, kami bermula daripada awal kembali. Kami akan mengkaji apa yang telah kami lakukan sebelum ini dan ke mana hala tuju program kami.

"Kami akan melakukan perancangan untuk tempoh empat tahun ke hadapan dan melihat siapa yang masih mampu untuk beraksi bagi edisi yang akan datang," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen