Gegaran otak yang dialami Mei lalu meranapkan impian pesilat negara, Razak Ghazali, untuk mempertahankan gelaran juara dunia dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Singapura, Disember depan.

Razak kini kerap mengalami sakit kepala dan tidak boleh melakukan sebarang latihan lasak sehingga benar-benar pulih untuk kembali ke gelanggang.

Ia tahun yang hambar buat juara dunia 2016 itu apabila turut diketepikan daripada Sukan Asia Indonesia sebelum doktor mengesahkan risiko berbahaya bakal dilalui andai dia berkeras menyertai Kejohanan Dunia.

Gegaran otak yang dialami menyebabkan pesilat kelahiran Terengganu itu mudah berdepan tekanan andai tidak dikawal, sekali gus memberi kesan buruk kepada prestasinya dalam latihan.

"Saya masih lagi terkesan dengan kecederaan tersebut dan tidak boleh menjalani latihan intensif buat masa ini," kata Razak.

Muhammad Zarish Hakim diberi kepercayaan sekali lagi untuk menggantikan tempat Razak dalam kelas putera D ke Kejohanan Dunia kali ini bagi menebus kekecewaannya dalam Sukan Asia tempoh hari yang berakhir dalam pusingan suku akhir.

"Persembahan Zarish semakin meningkat dalam setiap kejohanan," ujarnya.