Pemain golf negara, Gavin Kyle Green, bakal mencipta rekod atlet pertama kembali menjalani latihan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu, dia kini sedang menunggu kelulusan Persatuan Golf Malaysia (MGA) untuk turun beraksi, Selasa ini.

"Sudah hampir dua bulan saya tidak bermain golf, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) saya tidak menggunakan kayu golf sepenuhnya biar pun ada sedikit latihan tetapi ia tidak sama seperti di lapangan. Jadi agak gembira untuk kembali berpeluang ke lapangan, bertemu rakan-rakan dan beraksi bersama keluarga yang lain. Saya fikir semua pemain sudah tidak sabar lagi untuk bermain golf," kata Gavin yang diwawancara oleh wartawan Nadi Arena.

"Sepanjang tempoh ini saya banyak melakukan kerja-kerja rumah, mengemas rumah dan banyak lagi saya tidak jangka untuk lakukan. Daripada tidak melakukan apa-apa, lebih baik luangkan masa dengan membantu keluarga. Ia bagus, kerana selama ini saya jarang mempunyai tempoh masa yang lama seperti ini. Selalunya satu hingga tiga minggu paling lama, tetapi dua bulan tidak pernah berlaku.

"Pada dasarnya ini memberikan saya masa untuk lebih bergerak ke hadapan dan berharap saya dapat melakukannya. Ini kerana kita tidak tahu bilakah jelajah akan kembali, kami berharap pada Julai atau Ogos seperti yang mereka katakan. Kami benar-benar tidak tahu sehingga ianya berlangsung.

"Ia memberikan saya masa yang cukup untuk melakukan persediaan dan mendapatkan semula rentak permainan, kerana kini saya banyak menghabiskan waktu dengan aktiviti lain. Ia agak menyeronokkan tetapi sekarang adalah masa untuk saya kembali bekerja."

Sementara itu, MGA menetapkan garis panduan termasuk mengarahkan semua kelab golf mendaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memulakan operasi, Isnin ini.

"Kelab-kelab golf harus mengambil tanggungjawab di atas penjarakan sosial. Mereka akan mengeluarkan secara terperinci langkah bagi memastikan penjarakan sosial," kata Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.