Justin Gatlin tidak tersenarai untuk pencalonan Atlet Terbaik Tahunan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), dengan Usain Bolt turut tersisih daripada senarai 10 calon selepas penghujung mengecewakan terhadap karier legendanya.

Musuh ketat Bolt buat sekian lama, Gatlin, menewaskan atlet terhebat Jamaica itu dalam perlumbaan 100 meter terakhirnya di London, dengan juara Olimpik lapan kali itu turut gagal menamatkan larian terakhir dalam kariernya, final 4x100m.

Penyenaraian Gatlin dalam kalangan calon pada 2014, apabila dia mencatat masa terpantas 100m dan 200m oleh seorang atlet berusia lebih 30 tahun, mengundang kritikan hebat.

Namun, tidak tersenarainya dia kali ini, dianggap satu kejutan.

Ini adalah kali pertama sejak 2004 yang menyaksikan seorang juara 100m Olimpik atau Kejohanan Dunia, tidak tercalon dan sekali lagi ia berkisar mengenai Gatlin.

Pelari pecut Amerika Syarikat itu diejek ketika Kejohanan Dunia di London dan menunjukkan isyarat supaya senyap kepada penonton selepas memenangi final acara 100m.

Penggantungan dua kali Gatlin kerana kesalahan doping, telah lama digunakan untuk mengapi-apikan perseteruannya dengan Bolt.

Wayde van Niekerk dan Mo Farah mengetuai senarai pencalonan atlet lelaki sambil juara 800m, Caster Semenya, dan bintang baru heptatlon, Nafi Thiam, adalah antara pilihan dalam kategori wanita.

Senarai pencalonan atlet lelaki:
Mutaz Essa Barshim, Pawel Fajdek, Mohamed Farah, Sam Kendricks, Elijah Manangoi, Luvo Manyonga, Omar McLeod, Christian Taylor, Wayde van Niekerk, Johannes Vetter.

Senarai pencalonan atlet wanita:
Almaz Ayana, Maria Lasitskene, Hellen Obiri, Sally Pearson, Sandra Perkovic, Brittney Reese, Caster Semenya, Ekaterini Stefanidi, Nafissatou Thiam, Anita Wlodarczyk.