Selepas muncul naib juara Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sepasukan tahun lalu, pasukan Cobra mengambil langkah besar dengan meletakkan sasaran untuk muncul juara musim ini apabila skuad itu bakal diperkuatkan majoriti pemain dari New Zealand selain dibimbing bekas pemain All Blacks, Duncan Robertson.

Penyelaras kelab Cobra, Kapten Nazarudin Borhan, melihat gabungan antara pemain luar dan tempatan mampu memberikan kekuatan dalam usaha mereka untuk merampas kembali kejohanan itu yang memasuki edisi ke-47.

Berada dalam Kumpulan C, Cobra tetap berwaspada dengan cabaran pendatang baru dari New Zealand, Auckland Varsity Vipers, selain Charis Wolfpacks Rugby dan Panthers Blowpipe RC dari Australia.

"Majoriti pemain-pemain Cobra datang dari New Zealand dan terdapat juga pemain bertaraf profesional di Malaysia. Kami akan membuat penilaian yang rapi untuk memilih pemain yang bakal diturunkan dalam kejohanan kali ini," kata Nazarudin.

Tahun lalu, Cobra tewas kepada pasukan yang berpangkalan di Sabah, Borneo Eagles, 19-0 dalam aksi final.

Sementara itu, pengerusi penganjur pertandingan, Tan Sri Krishan Tan, berharap aura kejayaan pingat emas skuad ragbi tujuh sepasukan negara dalam Sukan SEA 2017 mampu melonjakkan minat orang ramai untuk hadir ke kejohanan kali ini.

"Harapan kami, penerimaan ramai peminat semasa temasya KL2017 akan berterusan untuk kejohanan kali ini," katanya.