Futsal AFF: Skuad negara ke separuh akhir 

Oleh Bernama 6 November 2018 2216
Futsal AFF: Skuad negara ke separuh akhir 
Barisan anak buah Chiew Chun Yong menempah tiket ke peringkat separuh akhir Kejohanan Futsal Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2018 selepas menundukkan pasukan tuan rumah, Indonesia, dalam perlawanan kedua Kumpulan A, hari ini.

Dalam aksi di GOR Universiti Negeri Yogyakarta itu, skuad negara terikat 4-4 pada masa rehat sebelum bangkit dalam separuh masa kedua dengan menyumbat tiga lagi gol manakala lawan hanya mampu menambah satu jaringan untuk keputusan akhir 7-5, demikian menurut laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Biarpun berbaki satu perlawanan menentang Myanmar esok, skuad negara yang mengumpul enam mata daripada dua perlawanan sudah layak ke separuh akhir, Jumaat ini.

​​​​​​Pasukan kebangsaan membuka tirai kejohanan berkenaan dengan membenam Kemboja 10-0 semalam.

Malaysia kini menanti lawan di antara Thailand dan Vietnam yang masih bersaing bagi menentukan juara Kumpulan B menjelang aksi separuh akhir nanti. 

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Harimau Malaya dalam Kejohanan Futsal AFF sejak ia dipertandingkan pada 2001 ialah muncul naib juara empat kali, termasuk di Vietnam tahun lalu apabila kecundang 3-4 kepada Thailand dalam masa tambahan perlawanan akhir.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen