Skuad futsal kebangsaan muncul juara Kumpulan A selepas menumpaskan Myanmar 3-2 dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan dalam Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018, hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di GOR Universiti Negeri Yogyakarta, Indonesia itu, anak buah Chiew Chun Yong dipaksa bekerja keras dalam separuh masa kedua selepas terikat 1-1 pada masa rehat, demikian menurut laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kemenangan ketiga itu menyaksikan Harimau Malaya mengutip sembilan mata penuh daripada tiga perlawanan dan mara ke separuh akhir dengan bergaya selepas mencatat 100 peratus kemenangan di peringkat kumpulan.

Malaysia kini hanya menanti lawan dalam separuh akhir di antara Thailand dan Vietnam yang masih bersaing bagi menentukan juara Kumpulan B.

Pasukan kebangsaan membuka tirai kejohanan berkenaan dengan membenam Kemboja 10-0, Isnin lalu, dan melakar kemenangan dramatik 7-5 ke atas pasukan tuan rumah, Indonesia, semalam.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Harimau Malaya dalam Kejohanan Futsal AFF sejak ia dipertandingkan pada 2001 ialah naib juara empat kali termasuk di Vietnam tahun lalu setelah kecundang 3-4 dalam masa tambahan kepada Thailand dalam perlawanan akhir.

-- BERNAMA