Pesta Tinju Pulau Pinang adalah peluang terakhir untuk peninju kebangsaan, Muhamad Fuad Redzuan, menamatkan kemarau 12 bulan tanpa kejuaraan peringkat antarabangsa, sekali gus menghidupkan reputasi sebagai sandaran pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Fuad menempuhi situasi sukar sejak bergelar peninju kebangsaan kerana masih belum meraih sebarang kejuaraan peringkat antarabangsa tahun ini ekoran masalah prestasi dan kurang menyertai kejohanan luar negara.

Justeru, Pesta Tinju Pulau Pinang menjadi peluang terakhir untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam kategori 49kg.

“Untuk peringkat antarabangsa, ramai peninju lain membuat persiapan untuk Sukan Olimpik, jadi kami tidak memiliki banyak perlawanan di luar, saya sudah membuat persiapan yang rapi untuk Pesta Tinju Pulau Pinang ini, saya menyasarkan pingat emas,” jelas Fuad.

Seorang lagi peninju senior, Khir Akyazlan Azmi, pula tidak beraksi kerana baru melangsungkan perkahwinan.

Malaysia menghantar 11 peninju, tujuh daripada mereka skuad elit dengan pengendali negara meletakkan sasaran tinggi.

“Kami meletakkan sasaran lima pingat emas, kami mengharapkan saingan yang hebat daripada peninju kita yang akan berdepan wakil dari negara jiran yang juga membuat persiapan Sukan SEA tahun hadapan,” kata penolong jurulatih skuad tinju negara, Azmi Md Yunus.

Pesta Tinju Pulau Pinang juga berpeluang untuk menguji kemampuan peninju negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura yang akan beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.