Chris Froome kembali sedar selepas menjalani pembedahan selama enam jam ekoran kemalangan ngeri yang dialaminya sehingga terlepas saingan Tour de France.

Juara enam kali Grand Tour itu diterbangkan ke Hospital Saint-Etienne selepas mengalami kemalangan berkelajuan tinggi menjelang perlumbaan peringkat keempat Criterium du Dauphine, semalam.

Antara kecederaan yang dialaminya ialah patah tulang femur, rusuk dan pecah tulang siku selepas pelumba Team INEOS itu melanggar dinding sebuah rumah gara-gara tindakannya melepaskan pemegang basikal kerana mahu menghembuskan hingus.

Awal pagi tadi, Team INEOS mengesahkan pelumba berusia 34 tahun itu selamat menjalani pembedahan, namun memerlukan rawatan rapi selama beberapa hari.

Dr. Richard Usher berkata: "Perkara utama dahulu. Pembedahan itu berjaya. Ia berjalan lancar selama enam jam.

"Chris telah sedar pagi ini dan sedang dipantau dengan penjagaan rapi oleh perunding rawatan intensif dan pakar ortopedik yang mengendalikannya dan mereka berdua amat gembira menyaksikan perkembangannya setakat ini.

"Chris akan kekal di hospital untuk beberapa hari lagi bagi tujuan pemeriksaan tetapi dia sudah aktif untuk berbincang tentang proses pemulihannya di mana ia sangat menggalakkan," katanya.

Pasukan Froome berkata pelumba British berkenaan akan mengeluarkan kenyataannya sendiri dalam masa terdekat.