Flandy Lempele enggan sekadar omong kosong di sebalik cabaran luar biasa selaku ketua jurulatih baru beregu lelaki negara, namun menjanjikan kejutan.

Jurulatih kelahiran Indonesia, yang mencipta nama apabila menaikkan imej badminton India, itu mahu memantau kem kebangsaan yang berpangkalan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

"Saya sangat bangga dan senang kerana diberi kepercayaan oleh Malaysia dan BAM.

"Saya yakin mampu membawa cabaran ini tetapi saya perlu melalui prosesnya terlebih dahulu, saya tidak mahu omong kosong.

"Ia satu cabaran buat saya untuk memajukan badminton Malaysia. Biar pemain negara mara ke kelompok 10 utama dunia terlebih dahulu, cuba menempatkan diri dalam kalangan tiga beregu terbaik dunia," katanya ringkas ketika ditemu bual wakil Nadi Arena, Shahrazad Sani, hari ini.

Baginya lagi, dia mempertimbangkan keperluan yang bersesuaian dengan pemain dengan berkata: "Ia merangkumi taktikal dan hubungan dengan pemain.

"Semuanya harus saling berkait. Disiplin adalah perkara asas untuk membentuk kekuatan mental."

Sementara itu, Chan Chong Ming menegaskan tiada masalah dalam usahanya meyakinkan pengkritik jika diberi masa untuk membuktikan kemampuannya sebagai ketua jurulatih beregu wanita.

Berbanding Flandy, pengendali berusia 40 tahun itu cetek pengalaman sebagai jurulatih di pentas elit.

Bagaimanapun, dia berasakan tiada masalah untuk menangani apa jua cabaran dalam meningkatkan profil skuad beregu wanita.

"Lebih baik saya, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM); Wong Choong Hann dan Wong Pei Tty duduk semeja terlebih dahulu kerana saya perlu memahami lebih banyak tentang beregu wanita.

"Saya rasa ia bukan satu masalah kerana kami pernah sebaris (ketika bergelar pemain) dan berlatih bersama-sama.

"Kami berharap dapat meningkatkan prestasi beregu wanita," katanya.