Penutupan Program Podium, Januari depan menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan pemegang taruh sukan di Malaysia.

Persoalan yang dibangkitkan kini adakah ia bakal menjejaskan persiapan atlet yang memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Program Podium dijangka melalui penstrukturan semula dan banyak kemudahan seperti elaun atlet yang mencecah sehingga RM7,000 akan dipotong.

Namun, beberapa atlet seperti Fitri Saari daripada skuad hoki lelaki negara berpendapat bahawa elaun lumayan atau sebaliknya merupakan perkara kedua dan yang utama adalah cuba menggunakan sumber sedia ada bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Soal duit menjadi nombor dua. Bagi saya, melayakkan diri ke Olimpik terlebih dahulu.

"Ia menjadi hasrat setiap pemain dalam pasukan," ujar Fitri.

Tahun 2019 pastinya getir buat barisan atlet elit negara dalam memburu tiket ke Tokyo 2020.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka akan mengumumkan penstrukturan baru program itu minggu depan.

"Ia tidak boleh dikatakan kerana ketika ini, kami masih belum mengetahui tentang dana untuk tahun depan," kata atlet memanah recurve kebangsaan, Khairul Annuar Mohamed.