Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, tidak akan mengubah sasarannya untuk mara ke separuh akhir acara keirin dan pecut dalam Piala Dunia di Glasgow, Scotland, bermula esok sungguhpun jaguh utama negara, Azizulhasni Awang, menarik diri.

Glasgow merupakan langkah pertama Firdaus untuk mengumpul mata bagi kelayakan Kejohanan Dunia 2017.

Pelumba kelahiran Johor itu terkejut apabila Azizulhasni menarik diri pada saat-saat akhir, namun tidak menjejaskan misinya untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir dalam kedua-dua acara.

"Itu tidak akan menjadi penghalang buat saya kerana saya tiba di sini dengan misi tersendiri, iaitu memperbaiki kedudukan ranking saya untuk layak peringkat Kejohanan Dunia.

"Bagi Azizul, dia tidak mempunyai masalah untuk beraksi dalam Piala Dunia Ketiga dan Keempat untuk layak beraksi dalam Kejohanan Dunia," katanya.

Selepas Glasgow, Firdaus akan terus menyertai Piala Dunia kedua di Apeldoorn, Belanda.

Apa yang menarik, ini kali pertama Firdaus beraksi sebagai wakil tunggal Malaysia ke Piala Dunia yang lebih sinonim dengan Azizulhasni dan Fatehah Mustapa.

Azizulhasni menarik diri daripada kejohanan itu ekoran masalah kesihatan. Pemenang pingat gangsa keirin Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan beraksi dalam Piala Dunia Ketiga dan Keempat untuk layak menyertai Kejohanan Dunia.

Fatehah pula tidak cukup latihan sejak pulang dari Rio.