Firdaus mahu raih kejayaan bersama Malaysia sebelum bersara

Oleh Ammar Hakim 27 Disember 2016 0
Firdaus mahu raih kejayaan bersama Malaysia sebelum bersara

Selepas hampir 12 tahun menabur bakti, penjaga gol futsal negara, Mohd Firdaus Razali, mengakui belum lagi memikirkan soal persaraan kerana masih mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan kebangsaan.

Antara faktor membuatkan Firdaus belum puas bersama skuad futsal negara ialah dia masih belum memiliki sebarang kejuaraan di pentas antarabangsa.

Justeru, penjaga gol berusia 32 tahun ini berharap mampu menamatkan kemarau trofi dalam Kejohanan AFF 2016 di Bangkok atau Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

“Selagi percaya dengan kebolehan yang dimiliki, saya akan terus bermain untuk pasukan negara sehingga mencipta kejayaan yang boleh saya banggakan,” katanya.

Firdaus menjadi antara tonggak paling senior pasukan ketika barisan dipilih oleh Chiew Chun Yong terdiri daripada ramai pemain muda berusia bawah 21 tahun.

Bagaimanapun, dia meletakkan harapan skuad kali ini mampu memberikan kejutan kepada tuan rumah, Thailand, atau Indonesia yang diletak sebagai pasukan pilihan dalam Kejohanan AFF.

“Ramai pemain baru yang menyertai skuad negara dan ia akan menyukarkan pasukan lawan untuk membaca gerak permainan kami.”

Kejohanan Futsal AFF semakin hampir di mana Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan saingan menentang Indonesia, sebelum berdepan cabaran Laos dan Myanmar.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen