Jurulatih skuad olahraga pelapis negara, Ahmad Firdaus Salim, mahu membentuk keserasian dengan atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, sebelum melakukan sebarang perubahan dalam corak latihan seperti yang pernah diterapkan jurulatih dari Russia, Victor Sotnikov.

Firdaus bakal mengambil alih tugas Sotnikov yang tidak disambung kontrak bagi membimbing Hakimi bermula tahun depan.

Ia bukan tugas mudah memandangkan atlet berusia 27 tahun itu sudah berlatih di bawah kendalian Sotnikov sejak sembilan tahun lalu dan Firdaus kini perlu memastikan tahap prestasi anak buahnya itu terus meningkat.

Aspek persefahaman amat penting dalam fasa awal latihan sebelum Firdaus mengenal pasti penambahbaikan dalam corak latihan yang diperlukan Hakimi.

"Pendekatan yang kerap digunakan Hakimi adalah pendekatan berprestasi tinggi di mana ia memerlukan kekuatan dan teknikal yang lebih tinggi.

"Bagi saya pula, saya lebih menggemari pembentukan asas yang baik dan kekuatan fizikal.

"Setakat ini, ia berkesan dan memberikan keputusan yang baik," katanya.

Firdaus yang turut melatih atlet wanita, R. Kirthana, dan atlet lompat jauh, Lukman Hakim Ramlan, akan menguji tahap kemampuan Hakimi dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perak, Februari depan sebelum ke Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) 2019 di Doha, Qatar, pada April.

"Hakimi mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan saya.

"Namun, jika dia berjaya menyesuaikan diri dengan lebih cepat, ia akan lebih memudahkan situasi kami," tambahnya.