Walaupun telah mengumumkan persaraan, khidmat bekas penjaga gol futsal negara, Mohd Firdaus Razali, masih kekal ditagih apabila dia kini bertindak selaku jurulatih penjaga gol bagi menghadapi Kejohanan AFF Futsal, bulan depan.
,
Firdaus, yang bersara selepas Kejohanan Futsal AFC, Februari lalu, dilamar ketua jurulatih, Chiew Chun Yong, berdasarkan pengalaman luas dimilikinya.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Firdaus tidak mahu melepaskan tawaran itu kerana baginya masih ada misi yang belum tercapai ketika bergelar pemain.

Antaranya adalah kejuaraan AFF yang masih belum dimiliki pasukan negara kerana kerap kali dikecewakan Thailand.

"Dulu saya berada dalam pasukan selaku pemain tetapi kali ini memegang status berbeza.

"Saya harus memberikan apa sahaja yang saya miliki untuk penjaga gol baru. Saya masih belum mendapat apa yang disasarkan dan mungkin kali ini ia boleh dicapai," kata Firdaus.

Dalam masa sama, Firdaus memberi jaminan ketiadaannya bukan satu masalah besar kerana skuad negara masih memiliki beberapa penjaga gol berkualiti.

Buat masa ini, Firdaus optimis dengan kelibat dua penjaga gol, Azrul Hadee Mohd Taufiq dan Syafiq Hamzah, yang dilihat sudah mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkannya.

"Kedua-duanya dilihat sudah bersedia untuk menggalas tugas selaku penjaga gol utama. Cuma, mereka memerlukan masa untuk tampil dengan persembahan lebih yakin dan sempurna.

"Ia memerlukan perlawanan dan pengalaman yang banyak."