Teka-teki siapa yang bakal memikul tanggungjawab mengetuai skuad futsal negara untuk menghadapi saingan Piala AFF 2016 terjawab apabila jurulatih negara, Chiew Chun Yong, melantik penjaga gol kebangsaan, Mohd Firdaus Razali, sebagai kapten pasukan.

Firdaus -- mula mewakili Malaysia sejak 2006 -- adalah pemain paling senior dalam pasukan negara dan kejohanan tersebut bukanlah asing buat dirinya.

Pemain berusia 31 tahun itu adalah antara watak penting ketika membantu Malaysia meraih gelaran naib juara bermula pada 2003, 2005 dan 2010.

Sehubungan itu, Chun Yong berasakan Firdaus adalah pemain paling tepat untuk menjadi pemimpin pasukan di dalam gelanggang.

"Kami memilih Firdaus Razali sebagai kapten baharu pasukan ini. Dia seorang yang berpengalaman dan paling senior berbanding pemain lain. Kami lihat dia memiliki ciri-ciri selaku ketua di dalam dan di luar gelanggang," kata Chun Yong, yang belum memutuskan siapa akan menjadi timbalan kapten.

Dengan adunan pemain baru dan lama, serta beberapa masalah yang dihadapi sebelum bermulanya saingan Piala AFF, Firdaus mempunyai tugas berat untuk membimbing pemain muda dalam pasukan.

Namun, itu bukan alasan memandangkan dia juga pernah menyandang jawatan ini ketika tahun 2014 di bawah kendalian jurulatih dari Brazil, Marcelo Serpa.

"Saya sering kali kena mengingatkan mereka ini bahawa mereka mewakili skuad futsal negara. Mereka memainkan peranan penting untuk masa depan sukan futsal di negara ini." kata Firdaus.

Kejohanan Futsal Piala AFF Ke-13 akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 6 November ini.

Malaysia berada di dalam Kumpulan B, bersama Indonesia, Singapura, Myanmar dan Laos.

Sementara, tuan rumah, Thailand, diundi untuk bersaing dengan Vietnam, Timor Leste dan Brunei di dalam Kumpulan A.