Jurulatih pelapis olahraga negara, Ahmad Firdaus Salim, bakal menggantikan kedudukan jurulatih lompat kijang negara, Victor Sotnikov, yang tidak disambung kontrak untuk membimbing atlet senior, Muhammad Hakimi Ismail, bermula tahun hadapan.

Firdaus mengambil alih tugas Sotnikov bagi membimbing Hakimi untuk melakukan persiapan bagi menghadapi musim 2019.

Memiliki pengalaman serta ilmu ketika berlatih bersama Sotnikov, Firdaus berharap dapat mengenal pasti kekurangan Hakimi dan memperbaikinya dalam usaha untuk melakukan catatan yang lebih baik selepas ini.

"Saya bakal mengambil alih tugas Sotnikov untuk melatih Hakimi bermula tahun hadapan," kata Firdaus.

"Konsep latihan saya hampir sama seperti jurulatih terdahulu dan mampu memastikan persiapan Hakimi tidak terjejas.

"Kami akan cuba memperbaiki kelemahan Hakimi sebelum ini dan saya percaya dia mampu melakukan catatan yang lebih baik selepas ini."