Persekutuan Sukan SEA (SGF) masih belum menerima surat rasmi dari Filipina berhubung penarikan diri negara itu untuk menganjurkan Sukan SEA 2019.

Presiden SGF, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, mengesahkan bakal menerima surat rasmi dari negara itu pada Rabu ini berhubung perkara tersebut.

Sekadar mengetahui isu berkenaan secara lisan, mereka masih belum dapat memutuskan negara mana yang akan menggantikan Filipina untuk menjadi penganjur bagi edisi 2019.

Menurut Tunku Imran, antara sebab utama Filipina membuat keputusan itu adalah berpunca daripada faktor kewangan, keselamatan dan juga kekurangan tenaga kerja.

"Saya fikir banyak sumber di mana kewangan dan tenaga kerja diambil perhatian. Saya rasa ia menyedihkan dan saya rasa semua orang patut memahaminya," katanya.

Tunku Imran, yang ditemui dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Olimpik Malaysia (MOM), turut menjelaskan peluang sebenar Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2022 masih samar tetapi tidak mustahil.

Beliau tidak menolak ketiadaan perkampungan sukan menjadi faktor utama selain masih perlu mendapat persetujuan daripada Kerajaan Malaysia.

"Ia adalah fakta yang kami (perlu) katakan bahawa kami akan meletakkan atlet di hotel, seperti mana kami lakukan dalam Sukan SEA, bukannya perkampungan.

"Ia mungkin suatu kelainan untuk Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) pertimbangkan buat waktu ini," tambahnya.