Kira-kira 40 peserta dijangka menyertai Festival Luncur Ombak Sabah di Tanjung Simpang Mangayau, Kudat, 21-22 Disember depan.

Pengerusi penganjur, Shahrul Nizam Wid, berkata sebanyak tiga kategori dipertandingkan, iaitu terbuka lelaki, masters (35 tahun ke atas) dan grom (B-16).

Kejohanan itu dianjurkan Persatuan Luncur Ombak Negeri Sabah (SSA) dengan penaja utama ialah Rip Curl selain mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah.

"Setakat ini, peserta dari Indonesia, Brunei, Johor, Labuan, Sarawak dan Sabah sendiri telah menyatakan minat untuk menyertai festival ini.

"Pertandingan ini juga akan lebih berkualiti dengan kehadiran tiga juri berkelayakan," katanya.

Sementara itu, Presiden SSA, Muhammad Zuraqaany, berkata festival itu adalah salah satu pentas bagi peserta, khususnya dari Sabah, membuktikan bakat mereka dalam sukan luncur ombak.

"Sukan luncur ombak juga adalah salah satu acara dalam Sukan SEA di Filipina (hujung bulan depan).

"Adalah menjadi impian SSA untuk melihat ada wakil Sabah yang akan membawa cabaran negara suatu hari nanti sama ada dalam Sukan SEA, Sukan Asia, mahupun Sukan Olimpik," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Rip Curl Malaysia, Muhammad Faisal Daud, berkata sukan luncur ombak memiliki potensi besar di Sabah.

"Kami telah bekerjasama dengan SSA sejak beberapa tahun lalu dan sukan ini semakin menarik minat orang ramai," katanya.