Roger Federer mempamerkan aksi berkualiti ketika mengatasi Kei Nishikori untuk mara ke separuh akhir Terbuka Shanghai, semalam.

Aksi di antara dua pilihan utama itu berlangsung bagi merebut slot ke separuh akhir, dengan Federer mencetak kemenangan 6-4, 7-6 (7-4) selepas satu jam dan 51 minit bertarung di atas gelanggang.

Memerlukan tiga set untuk menewaskan Daniil Medvedev dan Roberto Bautista Agut dalam dua perlawanan terdahulu, Federer kelihatan dalam bahaya apabila sekali lagi perlu menghadapi penentuan ketika ketinggalan 4-1 dalam tie-break.

Bagaimanapun, servis pemain Switzerland itu membuahkan hasil apabila meraih enam mata berturut-turut untuk kekal di landasan menjuarai kejohanan yang dimenanginya tahun lalu.

Federer seterusnya akan berdepan Borna Coric, yang menewaskan wakil Australia, Matthew Ebden, 7-5, 6-4.

Pilihan ke-12 dari Croatia itu berharap untuk mengulangi kejutan ketika berdepan Federer apabila mengatasi bintang veteran itu ketika memenangi Terbuka Gerry Weber, Jun lalu.