Selepas 14 tahun bersama pasukan Yamaha Maju Motor dalam saingan Cub Prix, pelumba veteran, Ahmad Fazli Sham, mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dan mencari
haluan baru untuk musim 2018.


Fazli adalah antara watak utama yang menghiasi saingan Cub Prix sejak membuat penampilan pada 2003 bersama pasukan Yamaha Maju Motor.

Namun selepas 14 tahun, dia mengambil keputusan untuk mencuba angin baru bagi menghadapi musim 2018.

Masih belum ada keputusan rasmi sama ada Fazli akan beralih ke pasukan baru atau menubuhkan pasukannya sendiri, namun yang pasti dia masih belum mahu berhenti daripada arena permotoran tempatan.

"Saya masih tidak ada perancangan buat musim 2018, saya akan terus terlibat dalam sukan permotoran tetapi tidak mengetahui sama ada berlumba atau menubuhkan akademi bagi mencungkil pelumba baru," katanya.

Pengunduran Fazli juga lebih mahu memberi peluang buat pelumba muda yang menyinar bersama pasukan Yamaha Maju Motor.

Ketika ini, pasukan itu mempunyai barisan pelumba ditunjangi Kasma Daniel Kasmayuddin, Ramdan Rosli dan dikhabarkan juara CP115, Akid Aziz, juga akan beralih ke kategori perdana pada musim depan.

"Pasukan terpaksa membuat keputusan dan saya akur dengan setiap apa yang berlaku dan memberikan ruang kepada pelumba lain untuk mencipta nama," tambahnya.