Atlet elit silat negara, Fauzi Khalid, bangga dengan pencapaian rakan senegara di pentas Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Indonesia meskipun pada awalnya kecewa tiidak dapat ke sana disebabkan kecederaan.

Fauzi mengalami gegaran otak sewaktu Kejohanan Silat Sukan Pantai Asia di Danang, Vietnam, September lalu.

Dia yang sepatutnya ke Bali, Indonesia bagaimanapun, tidak dibenarkan menyertai kejohanan dunia itu oleh pihak Institut Sukan Negara (ISN) kerana masih belum pulih sepenuhnya.

Namun, kekecewaan juara dunia 2010 itu sedikit-sebanyak terubat apabila dapat melihat rakan pasukan meraih kejayaan hebat di sana, terutama Muhammad Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohd Nasir, yang melakar kejuaraan hatrik.

“Saya juga berniat untuk berjuang bersama Al Jufferi dan Razak di Bali, tetapi kecederaan saya menghalang saya untuk menyertai kejohanan dunia,” kata Fauzi.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 itu menyifatkan keadaannya semakin pulih dan kini dalam persediaan menghadapi Sukan SEA 2017 untuk memburu pingat emas ketiga selepas sekadar raih gangsa di Singapura tahun lalu.

“Jika mendapat perlepasan daripada ISN, saya akan membuat persiapan untuk Sukan SEA, saya berharap untuk beraksi demi mengharumkan nama negara.”