Pemanah kebangsaan, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, tak sangka akan dinobat Olahragawati Sabah buat kali ketiga berturut-turut.

Semalam, atlet berasal dari Kota Kinabalu itu sekali lagi mengungguli pentas Anugerah Sukan Negeri Sabah apabila dipilih sebagai Olahragawati 2017-18.

Fatin Nurfatehah sebelum itu turut merangkul anugerah sama dalam edisi 2013-14 dan 2015-16.

Mengulas mengenai pencapaian luar biasanya itu, dia berasakan prestasinya pada 2017 menjadi asas kepada pemilihan itu.

"Prestasi cemerlang saya pada 2017 menjadi merit bonus untuk saya mendapat anugerah ini," katanya yang memenangi dua pingat emas dan satu perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sehubungan itu, atlet yang baru menamatkan Ijazah Sarjana Sains Sukan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang itu menyasarkan untuk menambah koleksi pingat emasnya dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.

Pencapaian terbaiknya dalam Sukan SEA ialah memenangi tiga pingat emas di Singapura pada 2015.