Atlet memanah negara, Fatin Nurfateha Mat Salleh, mahu berehat sementara daripada sukan berkenaan, sebaliknya mahu menumpukan perhatian terhadap pelajarannya.

"Buat masa ini saya sedang buat PhD (Sains Sukan) di UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

"Dengan situasi sekarang termasuklah keadaan negara kita sedang memerangi Covid-19, saya hanya fokus kepada pelajaran dan tulisan sambil cuba kekalkan kecergasan.

"Saya juga mungkin akan berehat buat sementara," kata pemanah acara Compound terbaik negara itu ketika dihubungi, baru-baru ini.

Fatin berkata, dia bagaimanapun turut melakukan latihan bagi mengekalkan kecergasan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Katanya, dia juga mempunyai lebih banyak masa untuk memberi tumpuan kepada pendidikannya kerana acara Compound tidak tersenarai dalam program Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) tahun ini.

"Mereka (NAAM) telah menggugurkan kami dari program tahun ini, oleh itu tidak akan ada kejohanan antarabangsa yang akan kami sertai," kata Fatin.

Menurutnya, program untuk acara Compound hanya akan diteruskan pada 2021.

Kejohanan terakhir yang disertai Fatin adalah Kejohanan Memanah Dalam Dewan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada Disember tahun lalu.

Pada kejohanan itu, Fatin menang dua pingat emas menerusi acara pusingan Qualification dan Elimination.

Sebelum itu, Fatin juga telah banyak mengukir nama Sabah dan negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kecemerlangannya itu teriktiraf apabila dia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Olahragawati Sabah tiga musim berturut-turut iaitu pada 2013/2014, 2015/2016 dan 2017/2018.