Fatin jadi atlet boling padang Sabah pertama wakili negara

Oleh Staff Writer 14 November 2016 72
Fatin jadi atlet boling padang Sabah pertama wakili negara

Fatin Aqilah Amran menjadi atlet boling padang wanita pertama dari Sabah yang terpilih menyertai program Kita Juara sempena Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Pelajar jurusan Sains Sukan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, itu akan berlepas ke Selangor bagi menjalani program berkenaan selepas dia tersenarai dalam pemilihan yang diadakan, baru-baru ini.

Fatin, 22, yang berasal dari Kota Belud, mula menceburi sukan berkenaan selepas bakatnya dikesan jurulatih, Nizam Abdullah, ketika berusia 11 tahun.

Dia kemudiannya mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (Sukma) buat kali pertama di Melaka pada 2010 di bawah bimbingan jurulatih, Affendy Tan.

Selepas itu, Fatin menerima latihan selanjutnya daripada beberapa jurulatih lain, termasuk Nurdin Sabli, Abdul Murah dan Viana Majin.

Ketika dihubungi, Fatin berkata ibunya, Dayang Lapuan Omar, yang juga seorang pemain boling padang adalah pengeruh paling besar buatnya dalam sukan itu.

"Dia sentiasa menggalakkan saya untuk cemerlang dalam sukan itu dan saya juga menerima banyak sokongan daripada rakan-rakan serta persatuan negeri yang menghantar saya bersaing di luar negara," katanya.

Tambahnya, impiannya dalam sukan boling padang adalah bermain untuk negara serta meraih gelaran antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Boling Padang Sabah (PBPS), Ladislaus Maluda, mengucapkan tahniah atas pencapaian Fatin itu.

"Saya sangat gembira Fatin menjadi wanita pertama dari Sabah yang terpilih mewakili pasukan kebangsaan dan saya harap ia akan menggalakkan lebih ramai pemain junior untuk berusaha ke arah itu (mewakili negara)," katanya.




Tentang Penulis

Staff Writer

Komen