Perenang Selangor, Fatin Amira Ahmad Hadri, menganggap Kejohanan Renang Remaja Peringkat Umur Kebangsaan 2020 sebagai pendedahan terbaik dalam melayakkan diri bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma), Julai depan.

Atlet berusia 20 tahun itu menamatkan saingan acara 100 meter kuak lentang di tempat ketiga apabila tewas kepada wakil Indonesia di tempat pertama dan kedua dengan catatan 1 minit 10.29 saat.

Bagaimanapun, Fatin berpuas hati dengan pencapaian itu yang menyaksikan dia mencatat masa terbaiknya musim ini sekali gus berhasrat membuat kemunculan semula dalam temasya di Johor kelak.

Fatin terlepas Sukma tahun lalu ekoran keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian.

"Saya tidak sebagus perenang di peringkat antarabangsa tetapi saya berharap dapat menjadi seperti mereka.

"Namun, saya gembira dengan pencapaian setakat ini," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Norhalizah Hamzah, di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Buat masa ini, Fatin mempunyai satu lagi peluang untuk membuktikan kemampuannya mewakili pasukan Selangor dalam Sukma menerusi Terbuka Malaysia, bulan depan.

Untuk rekod, dia berjaya meraih dua pingat perak dalam penglibatannya dalam Sukma 2016 di Sarawak.

"Saya juga sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Terbuka Malaysia dan berharap dapat berikan aksi terbaik."