Pelumba basikal trek negara, Fatehah Mustapha, membuat keputusan untuk tidak menyertai siri Piala Dunia di Glasgow, Scotland, awal bulan depan atas alasan tiada persiapan rapi yang dibuat setakat ini.

Menurut Fatehah, dia terpaksa mengambil keputusan untuk tidak bersama-sama Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom bersaing dalam Siri Piala Dunia berikutan masa terhad untuk mempersiapkan diri.

Ini kerana selepas berakhir temasya Olimpik, dia dan Azizul sibuk menghadiri beberapa program yang dianjurkan untuk mereka dan juga pemenang pingat Olimpik yang lain.

"Daripada saya pergi (Glasgow) tanpa bawa balik kejayaan, baik saya kekal di sini dan fokus menjalani latihan.

"Saya ingin memenangi Kejuaraan Asia terlebih dahulu sebelum Kejuaraan Dunia. Malah, kita juga akan menghadapi Sukan SEA di tempat sendiri," jelas Fatehah mengenai matlamat jangka pendeknya.

Tahun ini cukup berat untuk Fatehah dengan segala persediaan ke Sukan Olimpik yang lepas dan kini dia hanya menunggu masa untuk pulang ke Melbourne, Australia, bagi menyambung latihan seperti biasa pada hujung bulan ini.

Tambahnya lagi, "Untuk tahun ini, saya akan menjalani latihan seperti biasa. Mungkin hujung bulan nanti saya akan kembali ke Melbourne sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Asia di India.

"Kemudian saya akan berbincang dengan jurulatih, John (Beasley) untuk menentukan program latihan yang bakal dijalani."