Pelantikan Fatehah Mustapa sebagai penolong jurulatih pembangunan berbasikal trek negara mencetus nostalgia buat Suod Hussain, beliau yang bertanggungjawab mengesan bakat ratu berbasikal trek negara itu 18 tahun lalu dan bulan depan mereka akan bergandingan semula untuk mencari bakat baru di seluruh negara.

Fatehah yang bakal memulakan tugas sebagai penolong jurulatih program pembangunan kebangsaan, bermula Selasa depan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja di antara Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Fatehah merupakan atlet yang kami temui dalam pencarian bakat pada 2002 di Terengganu," kata Suod Hussain, jurulatih pembangunan berbasikal trek negara.

"Dia telah berkecimpung dalam sukan bola jaring, olahraga dan beberapa sukan di peringkat sekolah.

"Fatehah kini bersama-sama saya untuk melatih atlet-atlet baru yang bakal dipilih menerusi pencarian bakat selepas ini.

"Kami juga berharap untuk menghasilkan seorang lagi pelumba berbasikal trek yang sama seperti dia."

Katanya lagi, "Malaysia agak ketandusan atlet dalam acara ini dan diharap dengan kehadiran serta impaknya akan melahirkan lebih ramai atlet sepertinya."