Khidmat ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, terus ditagih ibarat 'pisang goreng panas' selepas Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) turut bersedia menerima pelumba berusia 31 tahun itu sebagai jurulatih.

Kesediaan itu dinyatakan Ibni Amin Busu, selaku Pengarah MSNT, yang tidak menolak untuk membantu Fatehah bergelar jurulatih kepada skuad berbasikal Terengganu.

Ibni berkata pengalaman luas Fatehah di pentas tempatan dan antarabangsa sejak 17 tahun lalu begitu berharga, sekali gus diyakini mampu melahirkan pelumba generasi baru.

Seiring dengan itu, MSNT menurutnya sentiasa bersedia menerima Fatehah atau mana-mana bekas atlet negeri itu untuk kembali mencurah bakti dalam sukan masing-masing.

"Reputasinya sebagai Olimpian negara cukup disegani selain pengalamannya dalam Sukan Asia dan Komanwel.

"MSNT sentiasa mengalu-alukan jika Fatehah ingin pulang, dapatkan sijil kejurulatihan atau sebagainya dan kemudian dah tentu ada peluang untuk dia menjadi jurulatih," katanya.

Fatehah pada 3 April lalu menghantar surat persaraan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan disahkan telah diterima oleh Pengarah Bahagian Persediaan Atlet, Jefri Ngadirin.

Sebelum MSNT, Institut Sukan Negara (ISN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) antara yang menawarkan tempat buat Fatehah meneruskan kerjayanya.