Ratu berbasikal trek, Fatehah Mustapa, berdepan cabaran hebat dalam mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila penolong jurulatih negara, Junaidi Mohd Nasir, meletakkan jawatan ekoran masalah peribadi.

Fatehah mendapat tunjuk ajar Junaidi sejak tamat Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Dia mengambil keputusan meninggalkan kem latihan pusat di Melbourne, Australia ekoran masalah peribadi selain cuba mencari angin baru.

Bagaimanapun, Junaidi mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana masalah keluarga, sekali gus menjejaskan persiapan Fatehah memburu mata kelayakan Olimpik Tokyo.

"Bagi saya, tidak kisah siapa jurulatih. Cuma, kami memerlukan jurulatih kerana Junaidi sudah tiada di Kuala Lumpur dan kami hanya bergantung kepada jurulatih remaja negara, Muhammad Edrus Md Yunus, di mana kami akan mengikut program yang diadakan," kata Fatehah.

Selain Fatehah, dua lagi pelumba trek negara, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi turut berlatih di Malaysia berbanding tiga pelumba lelaki yang diketuai Azizulhasni Awang yang berguru di Eropah ketika ini.

"Junaidi banyak membantu saya kerana sebelum ini, saya seorang diri. Kini, semua berada di sini dan saya lebih fokus. Ia membantu saya, lebih-lebih lagi sudah mempunyai pasangan latihan," tambahnya.