Peninju profesional negara, Mohd Farkhan Haron, menghadiahkan kejayaannya menumbangkan jaguh Tanzania, Pascal Ndomba, dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor kepada ibunya yang disahkan menghidap barah paru-paru tahap empat.

Ibunya, Zaharah Abd Razak, menganggap anaknya memiliki semangat juang tinggi sama seperti arwah bapanya yang juga bekas peninju Johor.

Malah, beliau sanggup melupakan kesakitan semata-mata untuk menyaksikan pertarungan anaknya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) malam tadi.

"Ini kemenangan yang cukup istimewa.

"Sebenarnya ketika memasuki gelanggang, ini kali pertama saya berasa sedikit beremosi. Kali ini saya teringatkan arwah ayah saya, apatah lagi ibu saya menghidap kanser tahap empat.

"Jadi, saya dedikasikan kemenangan ini untuknya sebab kami baru tahu mengenainya (penyakitnya) Mac lalu.

"Dia berjuang untuk mengatasi barah paru-paru dan tetap hadir walaupun tidak sihat.

"Dia dan isteri saya sentiasa hadir, jadi saya sentiasa memandang ke arah tepi gelanggang kerana saya tahu kekuatan saya ada padanya.

"Dia adalah segala-galanya bagi saya, saya sayang kepadamu ibu," katanya.

Ndoma pula berharap dapat mengadakan pertarungan semula di negaranya selepas tewas menerusi jatuhan teknikal (TKO) selepas terkena tumbukan Farkhan dalam pusingan ketujuh.

"Farkhan seorang peninju yang bagus, cuma dia kurang pengalaman.

"Dia perlukan seorang jurulatih dan rakan sepelatih yang berkualiti untuk melangkah jauh. Saya harap dapat mengadakan pertarungan semula dengannya," kata Ndoma.

Sementara itu, Farkhan sedia menyahut cabaran lawannya itu tidak kira di venue mana sekalipun.


Editor: Shaiful Shamsudin